Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre,

Majalah Metro

Korban usia muda

Oleh Siti Zarinah Sahib

Dia langsung tidak terfikir memulakan berdakwah menerusi media baru seperti Facebook dan Twitter serta media elektronik televisyen dan radio. Apa yang bermain di fikiran Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre, 33, sebaik menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Syariah (Feqh Perbandingan Mazhab) di Mesir, hanya ingin turun ke masjid, surau serta majlis ilmu bagi berdakwah.

Semuanya bermula sebaik saja pulang ke Malaysia selepas hampir 12 tahun merantau di Mesir. Ketika itu buat kali pertama dia muncul di kaca televisyen dalam program berita menyebabkan banyak tawaran diterima untuk muncul dalam beberapa program keagamaan, antaranya Tanyalah Ustaz dan Hujah di TV9 serta Assalamualaikum juga Muhasabah Diri di TV Al-Hijrah.

Dari situ, Syed Abdul Kadir bertemu dengan kumpulan nasyid UNIC yang mempelawa untuk menerbitkan album berbentuk dakwah.

“Saya katakan, sekiranya menerusi muzik mampu memberikan sesuatu kepada masyarakat, sekali gus mengajak mereka mencintai Allah dan Rasulullah, ia ternyata cukup bermakna,” katanya yang turut menjadi penasihat syariah UNIC serta muncul dengan album pertama Ratib Al-Hadad serta album kedua bertajuk Doa.

 
Foto

 

Tidak cukup dengan itu, Syed Abdul Kadir menjadi lebih kreatif menyampaikan dakwah apabila muncul dengan inovasi dakwah terkini menerusi nada dering pemanggil berbentuk tazkirah.

Jelasnya, himpunan lapan tazkirah diberi nama Bersama Kekasih merujuk kepada adab dan sunah Rasulullah yang akan kedengaran oleh pemanggil apabila mendail nombor pelang­gan. Walaupun nampak seakan-akan remeh, ia meninggalkan kesan cukup mendalam kepada pendengar terutama bagi yang mendapat manfaatnya. Ini kerana perkataan kebaikan yang diulang-ulang lama-kelamaan akan menjadi 
doa dan diharap memberikan sesuatu kepada masyarakat.

Bagi Syed Abdul Kadir, apa saja bentuk dakwah akan dilakukannya bagi mengisi saham akhirat. Dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi maklumat, pendakwah harus kreatif dan berinovasi bagi menarik khalayak yang mempunyai satu aliran dan tujuan hidup yang sama.

“Pendakwah hari ini tidak lagi boleh menggunakan cara lama untuk berdakwah, sebaliknya harus mengikut arus dan perkembangan teknologi maklumat. Cara ini mampu menarik lebih ramai khalayak pendengar yang mempunyai tujuan hidup yang sama,” jelasnya.

Mengenai kebangkitan ramai pendakwah muda yang aktif dan interaktif menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai, pantas dia memberitahu, hanya orang muda mengenali orang muda. Selain mempunyai corak pemikiran serta jiwa yang sama, pendakwah muda menerusi media sosial seperti Facebook, blog dan Twitter serta terkini menerusi muzik memberi lebih peluang kepada golongan ini mendekati remaja dan belia, sekali gus menyampaikan dakwah mereka.

“Perkembangan teknologi maklumat memberi peluang kepada pendakwah menyampaikan mesej keagamaan mereka dengan lebih cepat. Ini sesuatu yang bagus kerana remaja kini menggunakan media baru untuk bersosial seperti Facebook, Twitter, Instagram serta menonton televisyen.

“Sebagai pendakwah kami harus menyelami cara mereka berfikir untuk berdampingan seterusnya menyampaikan mesej kebaikan,” katanya yang mula menggunakan blog sebagai medium dakwah pada 2004 sehingga 2006, kemudian beralih kepada Facebook lantaran pembaca muda lebih menggemari ayat ringkas serta bahasa mudah berbanding blog kerana lebih panjang dan berilmiah.

Menyingkap pembabitan dalam bidang dakwah, jelas anak keempat daripada tujuh beradik ini, sejak kecil dia sudah meminati bidang keagamaan. Walaupun ayah bukan seorang ustaz dan berkhidmat sebagai jurutera, dia sering membawa anak-anaknya ke masjid untuk bersolat dan mendengar ceramah agama. Malah ini berterusan apabila ada jemputan untuk majlis ilmu, ayahnya tidak lokek membawanya bersama.

“Saya masih ingat sejak di sekolah rendah saya kerap mengikut ayah ke masjid bagi mendengar ceramah agama. Lama-kelamaan saya mula meminati bidang dakwah dan berazam menyambung pengajian di Mesir,” ujarnya yang memiliki darah Arab daripada ayah dan ibunya yang berasal dari sana.

Erti pengorbanan

Menyingkap maksud pengorbanan sesuai dengan kedatangan Hari Raya Korban ini, Syed Abdul Kadir mempunyai tafsiran sendiri iaitu melakukan sesuatu di luar zon selesa. Malah kehebatan seseorang dapat dilihat apabila dia sanggup keluar daripada zon selesa semata-mata mendapat keredaan Allah.

“Untuk menjadi hamba-Nya yang berjaya, perlu berkorban kerana ia lambang ketakwaan dan keimanan kepada Allah. Tetapi hari ini tidak ramai sanggup mengorbankan hal dunia untuk mendapat akhirat. Konsepnya sama seperti gaji yang diperoleh pada setiap bulan. 

“Walaupun hanya diterima pada hujung bulan, ramai yang sanggup bekerja bersungguh-sungguh. Keadaan ini berbeza dengan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah. Lantaran tidak nampak, tidak ramai sanggup melakukannya,” jelasnya.

Menurut Syed Abdul Kadir, ketika remaja dia sanggup mengorbankan masa remaja semata-mata mendapatkan ilmu. Jika rakan rajin me­ngunjungi pusat beli-belah, menonton wayang atau berhibur dengan teman wanita, namun zaman remajanya hanya dikelilingi buku dan belajar al-Quran.

“Bayangkan saya hanya tidur tiga jam sehari selebihnya digunakan untuk mempelajari ilmu agama. Namun saya tidak menyesal kerana apa yang saya lakukan suatu ketika dulu begitu memberi manfaat pada hari ini,” katanya yang memiliki perwatakan lembut serta mudah diajak berbual.

Mengambil contoh pengorbanan dilakukan ulama terdahulu, Imam Syafie yang menempuh pelbagai cabaran mengembangkan syiar Islam, jika dibandingkan pendakwah kini yang hidup mewah, memiliki kenderaan untuk bergerak, ia sememangnya jauh lebih baik.

“Memang saya suka membaca kisah nabi serta pengorbanan sahabat nabi dan ulama menyampaikan syariat Islam. Walaupun serba kekurangan, mereka boleh melakukannya, justeru ini seharusnya dijadikan inspirasi serta semangat menjadi lebih baik daripada mereka,” ujarnya.

Terapkan pendidikan Islam pada anak

Memiliki tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan Sharifah Wafa’ Alhadad, jelas Syed Abdul Kadir, dia memilih pendidikan Islam dengan menghantar anaknya ke sekolah tahfiz sains supaya mereka dapat mempelajari asas al-Quran tanpa meminggirkan akademik.

Ketiga-tiga anaknya Syed Abdul Rahman, 7, Sharifah Sumayyah, 4, dan Sharifah Zainab, 2, dilahirkan di Singapura dan memiliki asas kukuh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Jadi apabila pulang ke Malaysia, dia bersama isteri mula mencari sekolah yang tidak jauh berbeza namun menitikberatkan asas al-Quran dan bidang sains sebagai cabang ilmu.

“Apabila tamat pengajian, terpulang kepada mereka sama ada memilih matematik, bahasa atau sains dalam pekerjaan. Perkara paling asas adalah memperkuatkan akidah mereka supaya walaupun datang pelbagai cabaran, anak-anak akan 
kekal menjalani kehidupan mengikut cara Islam,” jelasnya.

Mengambil contoh bagaimana nabi mendidik anak-anak , ibu bapa memainkan peranan penting menunjukkan contoh terbaik kepada mereka. Ini kerana di rumah ibu bapa menjadi contoh paling dekat, jadi segala perbuatan dan tingkah laku akan diikuti mereka.

Selain menyampaikan ceramah agama di seluruh negara, dia turut memenuhi undangan berdakwah di luar negara seperti Jepun, India, Thailand, Singapura, United Kingdom, Ireland, Singapura dan Mesir. 

Peluang menetap di Mesir selama 12 tahun memberikan pengalaman berbeza. Di setiap negara yang dilawatinya menyimpan sejarah serta budaya berbeza. Bukan saja dari segi makanan tetapi keunikan budaya dan cara hidup.

“Jepun misalnya dikenali sebagai masyarakat bersopan santun dan kuat bekerja. Negaranya pula bersih dan kaya dengan budaya tersendiri. Berbeza dengan India yang dikenali sebagai negara yang kurang bersih dan ramai penduduk memberikan tafsiran berbeza kepada saya. Paling terkesan dan meninggalkan kenangan bermakna adalah ketika berada di Mesir,” ujarnya.

Bercerita mengenai impian, dia berharap dapat melahirkan lebih ramai pendakwah kreatif, muda dan matang yang akan memberi kebaikan kepada masyarakat dan umat Islam. Namun dalam keghairahan melahirkan lebih ramai pendakwah muda, usah dipinggirkan mereka yang sudah berusia kerana tanpa yang lama tiadalah yang baru.

“Kerjasama erat antara golongan muda dan berusia mampu memberikan semangat serta ilmu yang lebih meluas kepada masyarakat,” ujarnya yang memasang impian menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah sedikit masa lagi.

 

Advertisements
This entry was posted in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s