Jangan Join Usrah!!!

“Nanti bila dah sampai dekat sana, hati-hati dengan golongan-golongan usrah ni. Saya mahu kamu semua jangan join usrah!”

Rasa-rasa sesiapa yang pernah atau sedang belajar di luar negara mesti ada di kalangan anda pernah mendengar kata-kata seperti di atas bukan?

Bagi mereka yang tidak pernah mengenal apa itu usrah, mungkin mereka akan akur akan amaran dan ‘nasihat’ yang diberikan. Namun bagi mereka yang telah pun lama di dalam sistem tarbiyyah, yang telah lama bergolek-golek di dalam bulatan riang masing-masing, saya pasti anda akan tertanya-tanya kenapa usrah atau apa saja yang diberikan kepadanya dipandang serong, dilihat sebagai satu perkara yang begitu negatif pengaruhnya terhadap para pelajar?

Sebenarnya saya sendiri pun tertanya-tanya juga. Apa salahnya usrah ni?

Sebelum saya menggali dengan lebih dalam mengenai isu usrah ini, saya ingin bertanya kepada anda semua di luar sana, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan usrah? Apa yang anda faham tentang usrah?

Menurut As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di dalam bukunya yang bertajuk ‘Usrah dan Dakwah’,

Sesungguhnya Islam memandang sangat mustahak untuk membentuk ikatan-ikatan perpaduan

untuk penganut-penganutnya. Ikatan-ikatan ini dinamakan ‘Usrah’ atau ‘Keluarga’ 

Ya, usrah itu adalah sebuah ikatan keluarga yang terbina bukan di atas pertalian darah, keturunan, mahupun darjat, tapi terbentuk atas pegangan iman dan akidah kepada Allah swt. Dan kalau kita lihat sekarang, pelbagai macam panggilan yang diberikan kepada usrah ini, ada yang dinamakan bulatan, circle, liqa’, seating dan macam-macam lagi la.

Kalau kita lihat daripada penafsiran As-Syahid Imam Hassan al-Banna, tiada langsung unsur-unsur negatif atau anasir-anasir yang boleh membawa keburukan jika anda mengikuti atau bersama-bersama di dalam bulatan usrah in. Tapi kenapa masih banyak daripada kita yang terus memberikan persepsi negatif kepada usrah ini?

Ingin saya berkongsi sedikit pengalaman saya sebelum bersama-sama dengan ikhwah yang tercinta di dalam gerabak dakwah dan tarbiyyah. Perkataan usrah ini sebenarnya bukanlah satu perkataan yang asing buat diri saya, kerana sejak di sekolah menengah lagi, saya dan rakan-rakan yang lain telah pun didedahkan dengan suasana usrah. Cuma yang membezakan usrah di sekolah dengan usrah yang saya bersama sekarang adalah, di sekolah ia lebih tertumpu kepada satu liqa’ wajib yang perlu dihadiri oleh semua pelajar Islam untuk melengkapkan silibus Pendidikan Islam. Maknanya senang cerita, ia tidak lebih hanya untuk membantu para pelajar mengejar setiap butir ‘A’ di dalam slip peperiksaan supaya kelihatan cantik, tanpa menekankan kesedaran hati dan pemahaman sebenar terhadap Islam.

Namun setelah melangkah ke dunia siswa, berada di dalam kehidupan peringkat universiti, uslub pembawakan usrah itu menjadi sangat berbeza. Ia bukanlah lagi untuk membantu Islamic Studies, malahan ketika saya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dulu pun, tidak wujud Islamic Studies di dalam silibus pelajaran, tambahan pula saya berada di negara orang yang majoriti adalah atheist, sudah pasti ia satu perkara yang mustahil.

Ketika di awal pembelajaran, saya melihat mereka yang layak untuk menyertai usrah hanyalah mereka yang berlatar belakangkan sekolah agama, atau pun daripada keluarga-keluarga ustaz ustazah.

Erk?!

Bagaimana pula dengan saya? Saya rasa cukup untuk sekadar saya membaca buku-buku agama (itupun kalau ada masa!) ataupun sekadar ilmu yang telah saya peroleh sehingga di sekolah menengah. Saya secara peribadi tak pernah merasa allergi atau pun rimas bila melihat golongan-golongan usrah ini, malahan saya cukup hormat kepada mereka, kerana saya tahu saya tidak layak untuk bersama mereka.

Itulah persepsi saya selama 2 tahun terhadap usrah, tapi sehinggalah pada satu hari, saya merasakan apa yang lalui selama dua tahun ini mempunyai kekurangan dan kebosanan, walaupun jika bosan saya bersama dengan rakan-rakan atau mengisi masa lapang dengan bersiar-siar ataupun membeli-belah tingkap (sila baca window shopping). Tapi kepuasan itu bukanlah satu perkara yang berkekalan, kerana mudah saya kembali merasa kosong dan bosan. Pada ketika itulah saya sedar, apa yang saya rasa ini sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah kekosongan dan kelopongan yang timbul daripada hati.

Lama juga untuk saya memikirkan untuk ‘join’ usrah. Mana taknya, kalau orang tengok diri saya ini, memang liberal habislah. Layak ke nak usrah-usrah bagaikan? Tapi saya sedar saya perlu ubah diri saya sendiri, sebab kalau bukan saya siapa lagi bukan? Tanpa segan silu saya terus memberitahu senior saya yang saya nak usrah, saya nak naqib! Dan ketika itulah bermula bibit-bibit cinta saya di dalam gerabak dakwah dan tarbiyyah ini menuju cinta Ilahi.

Cewah

Alhamdulillah, persepsi saya kepada usrah tidaklah senegatif mana tapi bagaimana dengan orang lain di luar sana? Ada yang terus lari bila diajak untuk usrah. Ada pula yang terus tutup pintu bila mengetahui ada abang/kakak senior yang mengetuk pintu rumah mereka. Pelbagai alasan akan cuba diberikan supaya tiada keperluan mereka untuk menghadiri usrah.

“Usrah? Hmm, sorrylah saya sibuk dengan nak study semua ni takde masa nak usrah-usrah, bukannya bantu kredit pun kan?”

“Boringlah duduk-duduk dalam bulatan berbual je. Baik aku gi main boling ke tengok wayang ke pergi gim ke bagus gak. Ada sikit aktiviti fizikal nya”

“Budak-budak usrah ni tak lain tak bukan mesti berpakat nak tentang kerajaan kan? Tak abis-abis ada je menda yang diorang tak puas hati!”

“Aku dengar diorang yang usrah ni ada yang ajar ajaran sesat dowh. Hush takutlah aku nak join-join usrah ni”

bla bla bla bla……….

Macam-macam lagi yang boleh kita dengar segala jenis bentuk dan rupa persepsi negatif terhadap usrah ni. Saya tidak mahu menyalahkan mereka akan persepsi yang mereka letakkan terhadap usrah. Nak tahu kenapa? Kerana apa yang berlaku terhadap mereka ini kerana mereka tidak diberikan pemahaman dan penerangan yang jelas tentang usrah itu. Mereka hanya mendengar mungkin daripada rakan-rakan mereka yang pernah menyertai usrah namun mempunyai pengalaman yang tidak berapa manis, atau hanya terus skrol dan skrol MukaBuku atau belog-belog yang menceritakan tentang pahit-pahit di dalam bulatan tanpa kita betul-betul siasat akan kesahihan cerita tersebut.

Memang benar ada sebahagian yang menyertai bulatan-bulatan ini tidaklah seriang mana yang digambarkan. Mana taknya kata je bulatan riang tapi perangai di luar bulatan macam sama je dengan yang bukan ahli bulatan atau mungkin lebih teruk. Ada pula sebahagian ahli-ahli bulatan ini yang terus melabel mereka yang ‘bukan ahli’ sebagai ‘satu makhluk asing yang cuba merosakkan bumi’ dek kerana dirinya yang belum baik. Ini semua membuatkan kebanyakan orang di luar sana terus dan terus berpandangan negatif dan berpendapat ‘Jangan Join Usrah’.

Namun kita perlu ingat ahli bulatan atau tidak, kita semua adalah manusia biasa yang ciptakan oleh Allah. Kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Siapa kata ahli bulatan riang ini telah bertukar menjadi malaikat? Siapa kata ahli bulatan riang maksum daripada dosa dan kesalahan?

Saya sendiri pun bukanlah seorang yang baik mana, tapi sejak saya bersama-sama berjalan, bergolek-golek dan berlari-lari mengejar rama-rama di taman tarbiyyah ini, saya sentiasa tajarrud diri untuk berubah menjadi lebih baik.

MENJADI LEBIH BAIK

Itulah matlamat usrah, bulatan dan circle bagai. Kita mahu semua orang untuk menjadi lebih baik, bukan bermakna kita lebih baik daripada orang lain, tapi kita mahu sama-sama mengecap redha Allah di akhirat kelak. Di dalam bulatan inilah kita sentiasa ingat-mengingati antara satu sama lain untuk sentiasa mengingati Allah dalam setiap nanometer kehidupan kita.

Walaubagaimana sekalipun, usrah atau bulatan riang ini hanyalah salah satu wasilah untuk kita memperoleh keredhaan Allah swt. Ijtihad para ulama’ memutuskan ia adalah salah satu method yang berkesan dalam mentarbiyyah setiap individu muslim tanpa mengira umur, warna kulit, jantina dan macam bagai lagi, dengan sentuhan rabbani, dan pada masa yang sama menyuntik api-api semangat di dalam jiwa-jiwa umat Islam sekarang yang terus membeku ibarat ais di Antartika untuk kembali membara menyampaikan risalah-risalah Islam di seluruh muka bumi Allah ini.

Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang (boleh) mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapat kejayaan

 
Al-Ma’idah, 5:35

Sekiranya ada anda di luar sana yang masih ragu-ragu dan kurang yakin dengan bulatan gembira, tetapi anda menjumpai wasilah yang lebih mantap dan mampu mendekatkan diri anda kepada Allah, saya dengan berbesar hati menyokong anda untuk terus dengan perjuangan anda.

Tapi jika anda tidak selesa dengan bulatan-bulatan riang, saya mohon untuk anda tidak terus menyampaikan berita-berita yang tidak enak, mengetuk dari satu pintu ke pintu rumah ala-ala Mami Jarum membuat ketupat mengenai ahli-ahli bulatan dan bulatan riang itu sendiri. Janganlah anda menghabiskan masa menambah saham-saham deficit yang bakal merugikan anda di akhirat kelak. Saya doakan semoga Allah membuka dan mengetuk jendela-jendela hati anda untuk lebih mengenaliNya.

Bagi yang telah pun ‘Join the Club’ ataupun sudahpun menjadi abang-abang dan kakak-kakak besar di dalam bulatan-bulatan riang ini, teruskan komitmen anda dalam menjadi da’ie dan rijal-rijal yang bakal menjadi tulang belakang penggerak dakwah Islamiyyah. Saya doakan semoga anda terus thabat dan istiqamah di dalam kembara tarbawi ini.

Semoga Allah pertemukan kita di Jannatul Firdaus kelak

Aamin…..

Senyum dan tak kata apa-apa.

Jamed Musafirin @ Pengembara Tegar

Advertisements
This entry was posted in usrah and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s