hijrah habsyah, taif

HIJRAH ar-Rasul saw…….TIGA PERINGKAT HIJRAH

Salam teman-teman,

Ada tiga peringkat hijrah di masa RasuluLlah saw iaitu
•Hijrah ke Habsyah.
•Hijrah ke Taif.
•Hijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Perlu difahami bahawa Nabi Muhammad saw tidak terlibat dalam hijrah ke Habsyah. Setiap hijrah memberi pengajaran bagi Islam dan umat Islam. Mari kita lihat kupasan yang ditulis oleh Dr Mustafa as-Siba’ie dalam bukunya SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W…..PENGAJARAN & PEDOMAN.

Hijrah Ke Habsyah

Melihatkan kedegilan dan penyiksaan berterusan Quraisy terhadap para sahabat, RasuluLlah s.a.w. berkata kepada para sahabatnya: “(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar ke bumi Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar kepada kesulitan kamu ini.”

Oleh itu, para sahabat berhijrah ke sana untuk kali pertama seramai 12 orang lelaki dan 4 wanita. Namun, selepas menerima khabar pengislaman Umar dan kejayaan Islam, mereka pulang kembali ke Makkah. Akan tetapi, tak lama kemudian mereka pergi semula ke Habsyah bersama orang-orang mukmin yang lain. Bilangan mereka dalam hijrah kali kedua ke Habsyah ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita.
 
Pengajarannya :
1- Apabila pendakwah mendapati jamaahnya dalam bahaya, sama ada kepada nyawa
atau berbentuk ancaman fitnah kepada pegangan akidah, dia mestilah menyediakan tempat
yang selamat untuk penyokongnya daripada pencerobohan golongan batil tersebut. Usaha ini
tidak menafikan kewajipan para pendakwah kebenaran untuk berkorban.
Namun jika
bilangan mereka sedikit, golongan batil akan berjaya menghapuskan mereka dan
melenyapkan dakwah sekaligus. Sementara kewujudan mereka di tempat yang selamat,
menjadi jaminan kepada kesinambungan dakwah dan penyebarannya.
2- Perintah Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah sebanyak
dua kali menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (walaupun berbeza agama mereka) adalah lebih kuat dan kukuh. Ini berbanding ikatan mereka dengan penyembah berhala dan golongan atheis. Agama-agama Samawi dari segi sumber dan asas-asasnya yang sohih, sepakat dalam objektif utama sosial. la juga sepakat dalam persoalan keimanan kepada Allah, rasul-rasul-Nya dan hari Akhirat. Kebersamaan ini menjadikan jalinan kekerabatan antara agama-agama ini lebih kukuh berbanding mana-mana jalinan lain; Sama ada ikatan kaum kerabat, hubungan darah ataupun tempat tinggal yang berpasakkan pegangan atheism, keberhalaan dan kekufuran terhadap syariat Allah.
3- Golongan batil tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap
kali usaha pembasmian dakwah yang digunakan gagal mencapai objektifnya, mereka akan
mencipta cara dan medium yang lain. Demikianlah penentangan ini akan berterusan
sehinggalah kebenaran benar-benar mencapai kemenangan yang muktamad dan
kebatilan menghembus nafasnya yang terakhir.
Hijrah Ke Taif
Nabi saw ke Taif (80 kilometer dari Mekah)bersama anak angkatnya Zaid bin Harithah. Nabi saw ke Taif setelah mendapati dakwah Islam tidak mendapat sambutan dari penduduk Mekah.
 
Nabi saw. hanya sempat berada sepuluh hari di bumi Taif . Nabi saw. menyampaikan Islam kepada pemimpin dan pembesar Taif namun seringkali pula Nabi saw. menerima jawapan :` Keluarlah kamu dari negeri kami ’ . Bahkan mereka mengupah orang – orang bodoh dikalangan mereka untuk memaki hamun Nabi saw dan melontarkan batu ke arahnya sehingga tumit baginda berlumuran darah .

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهواني على الناس يا أرحم الراحمين إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني أم إلى قريب ملكته أمري إن لم تكن ساخطا علي فلا أبالي غير أن عافيتك أوسع لي أعوذ بنور وجهك الكريم الذي أضاءت له السموات وأشرقت له الظلمات وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة أن تحل علي غضبك أو تنزل علي سخطك ولك العتبى حتى ترضى ولا حول ولا قوة إلا بك
Ya Allah Ya Tuhanku , Kepada mu aku mengadu lemahnya kekuatanku , sedikitnya helahku dan betapa hinanya aku dikalangan manusia . Ya Tuhan Yang paling Penyayang dikalangan yang Menyayangi ,Engkaulah Tuhan kepada orang – orang yang lemah tertindas . Engkaulah Tuhan ku . Kepada siapakah Engkau serahkan diriku , Adakah kepada orang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku ?Jika tidak ada kepada – Mu murka terhadapku , aku tidak peduli , tetapi kemaafan-Mu lebih luas kepada ku . Aku berlindung dengan wajah-Mu yang telah Engkau pancarkan ke arah segala kegelapan , menjadi baiklah di atasnya segala urusan dunia dan akhirat .

Aku berlindung daripada turunnya ke atas ku murka – Mu atau berlakunya ke atas ku murka Mu . Kepada Mu pengaduan yang sungguh – sungguh sehingga mencapai keredhaanMu . Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu .

 
Pengajarannya:
1- Pendakwah hendaklah sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyebarkan dakwah.
2- Pendakwah hendaklah banyak bersabar dengan kerenah orang ramai yang sasaran dakwah(mad’u).
3- Pendakwah hendaklah sentiasa berdoa kepada ALlah dan mengharapkan hidayah kepada mad’u.
Sekian, terima kasih

http://yusofembong.blogspot.com/2009/12/tiga-peringkat-hijrah.html

Peristiwa Penting Bulan Rejab – Hijrah Pertama Ke Habsyah

Hijrah Ke Habshah kali pertama (bulan Rejab, tahun kelima Kerasulan)

 
 
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama Yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu Dalam bulan-bulan Yang dihormati itu (dengan melanggar larangan Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah berserta orang-orang Yang bertakwa. At-Taubah 36.
 
Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima sejak Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul.1 Terdapat beberapa orang para sahabat berhijrah dipimpin oleh Uthman Makhzun radhiallahu ‘anh dan terdiri dari lebih kurang sepuluh orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing.2  Sesungguhnya, banyak perkara yang boleh dikupaskan secara ilmiah dalam peristiwa ini.
 
 
 
Sebab penghijrahan ke Habsyah
Menurut Sheikh Mahmud Syakir “Sebab utama yang menyebabkan kaum muslimin hijrah ke Habasyah ialah tekanan dan intimidasi luar biasa daripada pihak musyrikin Quraish. Selain itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga khuatir kaum musyrikin Quraish akan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru mereka peluk. Kelihatannya inilah yang menjadi sebab utama hijrahnya sahabat-sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ke negara Habasyah. Saat memberikan keterangan latar belakang hijrahnya sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, semua buku rujukan sejarah Islam menyatakan hal yang baru saja diungkap”3
Seorang Qiyadi bukanlah hanya seorang pengarah namun perancang dalam menentukan keselamatan anak buahnya. Diakui perlunya seseorang Jundi itu bersedia untuk menghadapi cabaran dan halangan-halangan bagi mematangkan diri dalam medan perjuangan sebenar namun peranan seorang Qiyadi adalah merangka pelan keselamatan untuk anak buahnya.  Di sini kita akan dapat melihat bagaimana kegeniusan Rasulullah menyediakan sebuah pelan keselamatan untuk Jundinya yang tertindas bahkan sebagai pelan kemenangan untuk 5 tahun pertama.
 
 
 
Memilih tempat strategik : Habsyah
Berdasarkan gambar rajah di atas, jelaslah menunjukkan jarak Mekah ke Habsah (Etopia) adalah jauh dan menyeberangi laut  Merah malah menembusi dua benua iaitu Benua Asia dan Afrika. Pastinya perkara ini mengundang persoalan tentang strategi dan pelan keselamatan yang dirancang.
 
 
 
a.       Hubungan diplomatik kerajaan lampau dan Persaudaraan Nubuwah .
Pada zaman moden hari ini, tiada lagi negara Habsah. Negara ini telah berpecah kepada dua iaitu Eritria dan Ethiopia (a.k.a Abbesinia). Kedua-duanya terletaknya di Benua Afrika. Mengikut sejarahnya, hubungan antara Ethiopia dan tanah Arab terjalin sejak zaman Nabi Sulaiman. Ketika itu, Ratu Balkis (Pemerintah kerajaan Saba’) memerintah Ethiopia. Kisah terhubungnya dua negeri ini disebabkan burung hud-hud4 . Hubungan kedua-dua buah negara terus berlangsung hinggalah pada peristiwa bersejarah iaitu Serangan Tentera Bergajah Abrahah. Besar kemungkinan, inilah titik hitam yang berlangsung  antara kisah kedua buah – buah negara namun berkesudahan mengikut kehendak dari Allah. Ketika zaman Muhammad sallallahu ‘alaihi wasalam, hubungan keduanya bertambah rapat lantaran bermulanya detik hijrah para sahabat ke Habsyah secara sirr (rahsia) melalui jalan laut dan mendarat di bumi Eritria.
 
 
 
b.      Habsyah berkemampuan untuk menjajah negara lain
Negara ini mempunyai empayar  menjangkau hingga ke Sudan, sebahagian dari Mesir dan Somalia. Kehebatan ketenteraan Habsyah dapat dilihat berbanding  ketenteraan Mekah ialah ketika berlangsungnya serangan tentera bergajah Abrahah ke atas Mekah.  Hayatilah dialog antara Abdul Mutalib bin Hisyam (datuk Rasulullah) dengan Abrahah ( Raja Habsyah).
 
Abrahah mendahului dengan mengatakan, “Kami ini datang bukan untuk memerangi kamu semua tetapi kami datang adalah untuk merobohkan Kaabah, dan kalau kamu semua tidak menghalangi kami dari tujuan kami, maka kami tidak akan melakukan pertumpahan darah walau setitik pun.”
 
 
 
Sebaik sahaja selesai Abrahah menerangkan tujuannya, Abdul Mutalib pun berkata, “Kami tidak bermaksud untuk berperang dengan tuan, apa lagi dengan tentera tuan yang begitu ramai, dan kami juga tidak bersedia untuk itu.”
Berkata Abrahah, “Baiklah, nampaknya kamu mengizinkan kedatanganku, jadi adakah apa-apa yang  kehendak kamu sampaikan kepadaku?”.
Abdul Mutalib berkata, “Kami hanya mengharapkan kamu dapat kembalikan harta kami yang telah dirampas oleh tentera kamu itu.”
 
 
Apabila Abrahah mendengar kata-kata yang di ucapkan oleh Abdul Mutalib, maka dia pun berkata, “Wahai bapak suku kaum Quraisy, sesungguhnya aku begitu simpati dan hormat kepadamu, akan tetapi apabila aku mendengar permintaanmu itu, maka hilanglah rasa hormat dan simpatiku padamu. Aku sungguh hairan memikirkan kamu, aku ingat kamu hendak membicarakan tentang Kaabah, yang menjadi tempat suci pemujaanmu dan nenek moyangmu, dan kamu tahu tujuanku ke mari untuk merobohkannya, tetapi kamu lebih pentingkan 200 ekor unta kamu yang di rampas oleh tenteraku. Ternyata kamu menganggap soal Kaabah adalah satu soal yang remeh, dan aku merasa kecewa dengan pendirianmu.”
 
Lalu Abdul Mutalib berkata, “200 unta itu adalah milik aku sendiri dan sudah sepatutunya aku berusaha untuk menyelamatkannya. Tentang Kaabah pula, itu adalah urusan Yang Maha Kuasa, dan terpulanglah kepada-Nya untuk menyelamatkannya.”
 
Mendengar kata-kata Abdul Mutalib itu, maka dengan angkuhnya Abrahah berkata, “Kaabah itu tidak akan terlepas dari rancanganku untuk merobohkannya.”
 
“Terpulanglah kepada pemilik Kaabah untuk melindunginya,” kata Abdul Mutalib.
 
Kemudian Abrahah pun memerintahkan tenteranya supaya memulangkan kembali segala harta yang di rampas beserta dengan 200 ekor unta kepunyaan Abdul Mutalib. Maka bergembiralah rombongan Abdul Mutalib apabila mendengar penjelasan daripada Abrahah. 
 
Setelah mendapat jaminan tentang harta mereka, lalu rombongan Abdul Mutalib mengesorkan kepada Abrahah supaya sepertiga harta kekayaan Mekah di serahkan kepada Abrahah dengan syarat Abrahah tidak memusnahkan Kaabah, tetapi, syor itu telah ditolak oleh Abrahah.5
 
Berdasarkan kisah di atas, secara logiknya, Abdul Mutalib mampu untuk mengarahkan semua kabilah Arab bersatu untuk menentang Abrahah kerana mereka memang pandai bertarung. Tetapi secara pastinya, Abu Mutalib telah membuat  perkiraan antara kelengkapan persenjataan musuh termasuklah berhadapan dengan tentera bergajah. Beliau sendiri selaku pemerintah pastinya menyedari tiada senjata yang mampu untuk menghalang tentera bergajah untuk meruntuhkan Kaabah. Oleh itu, dapatlah difahami di sini kemodenan persenjataan di Habsyah jauh meninggalkan bangsa Arab pada ketika itu. 
 
 
 
c.       Kuasa Politik Habsyah bukan di bawah orang Arab Musrikin
Pemilihan Habsyah sebuah negeri yang sangat jauh lokasinya dari Mekah, adalah perkara yang aneh berbanding dengan negara-negara lain seperti Yastrib dan Thaif kerana kedua-dua buah negara ini lebih hampir kepada Mekah sendiri. Namun, apabila dibaca dari sudut geografi, pastinya negara yang dekat tidak mendatangkan jaminan keselamatan kerana kafir Quraisy akan mudah untuk mencari mereka. Jika baginda memilih kawasan yang berdekatan dengan Mekah pastinya negera-negara ini akan tunduk hormat kepada Arab Quraisy. Ini kerana di sekitar kabilah-kabilah arab, Arab Quraisy adalah kabilah yang paling tua dari segi nasab dan paling berpengaruh.6  Tokoh-tokoh Quraisy pada masa tersebut adalah tokoh-tokoh yang sangat berpengaruh kerana mereka yang menjaga Kaabah terutamanya apabila tiba musim haji.7
 
 
Strategi penghijrahan
Dalam perjalanan berhijrah ke Habsyah, dapatlah dipastikan para sahabat melalui jalan darat dan jalan laut (Laut Merah), kemudian berlabuh di Eritria kemudian sampailah ke Habsyah. Perjalanan ini bukanlah mudah kerana mereka dalam keadaan papa kedana namun atas keyakinan yang  jitu kepada Allah mereka tetap meneruskan perjalanan. Persoalan yang mungkin muncul, siapakah penunjuk jalan kepada mereka, lalu memudahkan mereka mengetahui selok-belok perjalanan. Jika diperhatikan kembali siapakah yang pergi berhijrah ke Habsyah mereka adalah golongan-golongan usahawan seperti Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Secara logiknya mereka mungkin pernah berdagang ke Habsyah atau besar kemungkinan kebanyakan bangsa Arab pernah pergi ke sana, memandangkan ketika datangnya utusan Quraisy iaitu Amr bin Ash dan Imarah bin Walid pada peristiwa Hijrah ke Habsyah kali kedua, mereka juga arif tentang jalan ke sana.
 
Penyusunan Organisasi Rasulullah.
Hijrah rintis ini tidak disertai oleh Rasulullah, namun pengatur dan pencatur di belakangnya adalah baginda. Ini dapat dilihat bagaimana baginda menyarankan kepada para sahabatnya tentang penghijrahan. Adakah baginda menyarankan sesuatu yang baginda tidak tahu baik buruknya kepada para sahabatnya ? Pastinya sebagai seorang Qiyadi sudah melakukan SWOT menghitung baik buruk setiap cadangannya.




Rasulullah… kegeniusan insan pilihan Allah.

1.      Antara Azimah dan Rukhsah: sebuah pilihan kepada anak buah
Kisah kesyahidan Sumayyah dan  Ammar bin Yasir, penyeksaan kepada Kaab bin Ar-rat, Usman bin Affan, Abu Bakar as-Siddiq, Bilal bin Rabah dan pelbagai lagi kisah pilu tanpa jalan penyelesaian. Mereka adalah insan yang berpengaruh di Mekah sebelum ini, namun kerana memilih Islam, kuasa politik dan pengaruh mereka sudah tidak berfungsi. Benar sebelum Islam, mereka amat dihormati oleh kaumnya, namun pemilihan Islam sebagai agama telah menjadikan kedudukan mereka di sisi kaum mereka telah kehilangan fungsinya.
Oleh itu, sebagai seorang Qiyadi mestilah prihatin dengan masalah yang menimpa anak buahnya. Menjadi  sebuah pengajaran yang kita dapati di sini ialah tarbiah bukanlah sesuatu yang mesti diharungi dengan azimah semata, namun masih ada rukhsah dalam hadapinya dengan memilih untuk berhadapan dengannya atau mencari jalan perlepasan. Dalam situasi yang lepas, sirah mengenai Ammar bin Yasir yang berpura-pura murtad telah menjadi contoh kepada kita proses tarbiah juga mempunyai rukhsah dalam menghadapinya. Oleh itu, salah faham akan makna tarbiah mestilah difahami dengan sejelasnya. Tiada istilah berani atau penakut, kerana keizinan hijrah ini diberikan oleh baginda rasul sebagai pelan B bagi sesiapa yang ingin mengikutinya.


 
2.      Bijak membaca siasah antarabangsa.
Sesungguhnya di bumi Habsyah seorang Raja, tidak ada orang yang terzalim di negaranya, berhijrahlah ke sana sehingga Allah mendatangkan jalan keluar daripada apa yang kamu hadapi. – hadis
Bagaimanakah Rasulullah boleh mengetahui mengenai negeri Habsyah ?. Adakah baginda pernah sampai ke sana atau pernah mendengar mengenainya ?. Terdapat juga beberapa pendapat, berkemungkinan Rasulullah dapat mengetahui hal ini disebabkan oleh perbualan baginda dengan pedagang-pedagang yang datang dari Habsyah. Berkemungkinan juga Rasulullah pernah pergi sendiri ke Habsyah di Pasar Tihamah kerana menjalankan urusan perdagangan barang Siti Khadijah.8 Walaupun tidak diketahui secara tepat, namun sabda baginda dengan menyebut nama negara, gelaran raja di negara Habsyah dan sikapnya, jelas menunjukkan baginda membuat perancangan teliti sebelum memberikan solusi kepada orang bawahannya. Kemungkinan kita sendiri menjadi keliru dengan menganggap Najasyi adalah nama kepada raja di Habsyah, namun perkara ini tidaklah tepat. Mengikut Ibn Katsir, gelaran raja di Habsyah dipanggil Najasyi begitu jugalah dengan negara Mesir digelar Firaun.9  Menghairankan, namun inilah bukti yang paling jelas menujukan Rasulullah adalah insan yang pakar dalam perancangannya. Sesuai untuk dinukilkan di sini, sebagai seorang Qiyadi, mestilah mengambil tahu siasah semasa dan bijak membaca pergerakkannya.
3.      Pemilihan tempat hijrah
Tiada siapa yang akan menjangkakan terutamanya kafir Quraisy ke manakah tempat umat Muhammad bakal melepaskan diri dari cengkaman mereka. Oleh itu, soal pemilihan tempat hijrah, pastinya menarik untuk diperhatikan. Setelah diselidiki dengan berhikmah, ia adalah sebagai sebuah strategi jangka panjang dan pelan keselamatan terbaik ketika tahun kelima kenabian. Sesungguhnya, baginda amat menyedari jika baginda menghantar para sahabatnya  ke Taif dan Madinah pasti akan mengundang bahaya; kerana tiada jaminan keselamatan kepada mereka. Pastinya akan membahayakan nyawa para sahabatnya. Perkara ini dikukuhkan dengan melihat kepada kekuatan kekuasaan dan pengaruh kafir Quraisy, kuasa Arab serantau, tiada jaminan akan duduk diam apabila melihat para sahabat Rasulullah berada di Taif dan Madinah.
Pastinya, mereka akan merencana pelbagai strategi bagi membuatkan bangsa selain dari bangsa quraisy akan tunduk kepada kehendak mereka. Di negara arab, bangsa quraisy tetap mendapat nama lantaran kedudukan mereka seolah-olah dinaungi Kaabah. Selain itu, pastinya tiada dapat anggapan kaum musyrikin tentang kaum Muslimin akan menggunakan jalan yang paling jauh sebagai pelan mencari perlindungan.  Kaum Arab Quraisy amat faham dengan keadaan cuaca dan kos pengakutan yang boleh sampai ke sana. Dalam keadaan umat Islam yang papa kedana adalah amat mustahil idea ke Habsyah untuk dilaksanakan. Perkara ini diperkukuhkan apabila perisik-perisik Quraisy mendapat tahu berita ini mereka seakan-akan tidak percaya akan strategi yang berlangsung. Di sinilah menjawab persoalan mengapakah Kafir Quraisy gagal menyekat kemaraan Orang Islam ke Habsyah kerana terlambat sampai.
 
4.      Membina hubungan diplomatik dan dakwah
Penghantaran muhajirin Habsyah pertama telah membuatkan terbinanya hubungan diplomatik secara tidak rasmi antara Rasulullah dengan Najasyi. Adalah terlalu awal pada tahun kelima hijrah untuk bermimpi membina sebuah daulah Islamiah, namun perancangan mestilah dilakukan dari sekarang. Terwujudnya hubungan ini telah menjadikan perancangan Quraisy untuk menghapuskan agama Islam di muka bumi menjadi tidak realistik.
Pasukan Muhajirin Habsyah ini diketuai olah Uthman bin Makhzun. Seterusnya diwakili oleh dua sayap iaitu pasangan suami isteri dan anak muda.  Secara logiknya, penghijrahan ini pastinya akan membawa beberapa mesej siasah yang boleh  mengganggu gugat Musrikin Mekah.
 
a.         Mesej Keamanan. Jika diperhatikan sahabat di atas, mereka adalah manusia yang terkenal latar belakangnya melalui  kekayaan dan pengaruh mereka sebelum Islam. Senarionya pada zaman ini, tidak semua masyarakat sekitar Arab mengetahui apatah lagi masyarakat yang tidak duduk di bawah penguasaan negara Arab untuk mengetahui apakah perkara yang berlangsung sebenarnya di Mekah pada ketika itu. Dengan menggunakan logik ini, pastinya pembesar-pembesar Habsyah lebih menganggap mereka sebagai saudagar yang ingin mengembangkan perniagaan dan menyangka berlakunya peperangan seperti sebelum ini contohnya Perang Fijar.
 
b.         Bilangan yang tidak ramai dan papa kedana. Bilangan pertama datang ke Habsyah adalah bilangan yang sedikit dan tidak menggerunkan sesiapa sahaja apatah lagi sebuah negara yang lengkap persenjataannya.
 
5.      Hubungan keagamaan
Sesungguhnya perintah Rasulullah untuk sahabatnya berhijrah ke Habsyah adalah untuk menonjolkan dan membuktikan adanya hubungan keagamaan bagi orang yang beragama. Hubungan Keagamaan ini adalah lebih kuat jika datang dari sumber yang sama. Perkara ini jauh lebih kuat dari athies.10 Kebanyakan penduduk Mekah pada ketika ini adalah mereka menyembah bahala, dan menyembah apa sahaja yang ingin disembah.
 
6.      Mengoptimumkan penggunaan sumber manusia bagi merealisasikan visi hijrah.
Karismatik seorang pemimpin terserlah apabila mempu untuk mengatur sumber manusia berada pada posisi dan kemampuan mereka tersendiri.


Siti Khadijah – tulang belakang perjuang
            Peranan Siti Khadijah dalam peristiwa Habsyah ini pastinya sukar di kesan dalam lipatan sejarah terutamanya semasa dalam peristiwa Hijrah ke Habsyah. Namun, bagaimanakah pula dengan sejarah baginda berdagang barang dagangan Abu Talib dan Sadatina Khadijah sebelum diangkat menjadi Rasul?.  Sesungguhnya, kehadiran Siti Khadijah bukanlah hanya sebagai seorang isteri, namun beliau adalah pedagang tersohor, diplomat berpengaruh, dan murabbi sejati.
 
a) Pedagang tersohor:
            Keberadaan Siti Khadijah di Medan Perdagangan bukanlah suatu yang asing. Para sejawatnya mengakui keberhasilan Siti Khadijah, ketika itu mereka memanggilnya “Ratu Quraisy” dan “Ratu Mekkah”. Ia juga disebut sebagai at-Thahirah, yaitu “yang bersih dan suci”. Nama at-Thahirah itu diberikan oleh sesama bangsa Arab yang juga terkenal dengan kesombongan, keangkuhan, dan kebanggaannya sebagai laki-laki. Karenanya perilaku Khadijah benar-benar patut diteladani hingga ia menjadi terkenal di kalangan mereka. Pertama kali dalam sejarah bangsa Arab, seorang wanita diberi panggilan Ratu Mekkah dan juga dijuluki at-Thahirah. Orang-orang memanggil Khadijah dengan Ratu Mekkah karena kekayaannya dan menyebut Khadijah dengan at-Thahirah karena reputasinya yang tanpa cacat.
 
b) Membentuk (grooming) bakat kepimpinan anak muda baru:
            Secara jujurnya, ketika peristiwa ini berlangsung tiada siapa yang menjangka  Saidina Usman bin Affan bakal menjadi Khalifah ketiga Islam, Zubair al-Awwam pahlawan Rasulullah dan Mus’ab bin Umair adalah naqib yang baginda hantar ke Madinah. Namun, sebagai sebuah proses pertarbiahan yang jangka panjang, baginda menyedari bakat-bakat ini tidak boleh dibiarkan terpendamkan begitu sahaja.                          
 
Orang Musyrikin melepaskan dendam lalu meningkatkan penyeksaan
Apabila orang musrikin gagal untuk menangkap utusan Rasulullah ke Habsyah, mereka telah meningkatkan penyeksaan kepada sahabat-sahabat yang berada di Mekah. Di pendekan cerita, mereka mula untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini telah dipelapori oleh Saidina Umar al-Khatab sebelum beliau memeluk Islam.


 
Adanya sebaran maklumat  palsu. – tindakan propaganda media Quraisy
Apabila Saidina Umar al-Khatab memeluk Islam, telah sampai desas-desus menyatakan semua orang Makkah telah memeluk Islam. Apabila para sahabat yang berada di Habsyah mendengar perkara ini, mereka menjadi sangat gembira lantas berangkat pulang ke Kota Makkah namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kafir Quraisy sengaja menyebarkan omong-omong dusta sebagai helah untuk membuatkan Orang Islam di Habsyah kembali balik ke kampung halaman. 


 
Di sini kita boleh mengambil perhatian kepada dua perkara yang utama:
 
a)      Islamnya Saidina Umar al-Khatab .
Saya tidak menghuraikan bab ini dengan panjang pada bahagian kali ini, ini kerana terdapat bab khusus untuk mengambarkan besarnya pemusuhan Saidina Umar al-Khatab sebelum dia memeluk Islam.
 
b)      Kepentingan penguasaan media massa.
Dalam kisah ini dapat kita perhatikan, kesahihan media massa adalah penting. Dalam sirah di atas jelaslah menunjukkan bagaimana  apabila kita gagal menguasai media massa maka kita akan mudah dieksploitasi. Oleh itu, sebagai seorang dai’e penguasaan media massa dan keprihatinan untuk menguasai media baru adalah sama pentingnya. Dalam dunia moden pada hari ini, dai’e semestinya mampu untuk menguasai internet dan memiliki telefon bimbit pelbagai fungsi bagi tujuan dakwah.
 
Secara kesimpulannya, sesempit mana sekalipun untuk melaksanakan sebuah urusan dakwah, dakwah mesti dilakukan. Soal bagaimana perlaksanaannya adalah perkara yang menjadi susulan.
[1]          Thabaqat Ibn Sa‘ad (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 1, ms. 161.
[2] Sirah Ibn Hisyam (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms. 346.
[3]          Mausu‘ah Ghuzwat al-Rasul (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur Abdul Razzaq atas Judul Ensiklopedia  Peperangan  Rasulullah;  Pustaka al-Kautsar,  Jakarta, 2005), ms. 29.
[4] kisah burung hud
[5]kisah abrahah dengan abu mutalib
[6]          ibrahim ali ahmad, fi as-sirah an-nabawiyah, hal 101
[7]          Muhammad al-mahzum (2004), Manhajun Nabiyy fid da’wah min khilasis sirah ash-shahihan: al-ma’rifah, at-tarbiyah, ath-thakhithith, at-tanzhim, ms 132
[8]          Muhammad Abduh Yamani (2008), Khadijah: cinta abadi kekasih Nabi, PTS Islamika, ms 59
[9]          Ibn Katsir – al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2, ms, 18.

[10]      Perjalanan hidup Nabi Muhammad 2004, Mustafa As-Sabie, pustaka darussalam, m/s 25

http://muhammadfirdaus-dx.blogspot.com/2012/05/peritiwa-penting-bulan-rejab-hijrah.html

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s